Friday, 22 November 2013

FAM - Jangan Sampai Datuk Ong Kim Swee Terlepas.....


KUALA LUMPUR - Belum pun reda tentang masa depan jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, kini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka berdepan satu lagi ujian apabila pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee dikatakan sudah mula dirisik beberapa negara Asia Tenggara.

Bekas pemain kebangsaan itu mempunyai tempoh kontrak yang sama seperti Rajagobal akan berakhir 31 Disember ini, jika tidak ada apa-apa maklum balas daripada FAM dikhuatiri akan ada negara lain yang menyambar Kim Swee.

Antara negara Asia Tenggara yang menunjukkan minat untuk mendapatkan bekas jurulatih Melaka dan pasukan kebangsaan bawah 19 tahun itu ialah Persatuan Bola Sepak Myanmar (MFF) yang mahu mengembalikan kegemilangan era 60-an dan 70-an yang mana mereka menjadi kuasa besar di rantau ini.

Rajagobal akan mengetahui nasibnya pada Mesyuarat Exco FAM esok, namun sekarang ini Kim Swee juga perlu menyedari adakah badan bola sepak negara itu masih lagi mahu menggunakan khidmatnya ataupun dinaikkan pangkat mengendalikan skuad senior yang kini nyawa-nyawa ikan dalam kelayakan Piala Asia 2015 Australia.

Myanmar dilihat begitu serius untuk mendapatkan sentuhan Kim Swee yang telah membuktikan kehebatannya sebagai jurulatih.

Mereka juga mahu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama kuasa Asia Tenggara lain seperti Malaysia, Thailand, Singapura serta Vietnam.

Jika jurulatih Myanmar sekarang, Park Sung-Hwa menerima bayaran bulanan $AS70,000 (RM224,280), MFF pula dikatakan sanggup meletakkan jumlah gaji yang lebih tinggi buat Kim Swee.

Nama Kim Swee mula meniti di bibir peminat bola sepak tempatan selepas berjaya mengekalkan pingat emas Sukan SEA di Jakarta dua tahun lalu, kejayaan itu membuka mata banyak pihak termasuk Singapura yang dilaporkan turut menunjukkan minat untuk menggunakan khidmatnya.

Menurut bekas pemain legenda kebangsaan, Khalid Ali, tawaran daripada negara luar kepada Kim Swee adalah sesuatu yang positif kerana membolehkannya menimba ilmu di negara orang sebelum pulang semula ke negara asal berbekalkan pengalaman berharga.

"Dia akan memperoleh ilmu yang tinggi dan mewakili Malaysia untuk memberikan yang terbaik demi negara. Ini adalah salah satu penghargaan buat bola sepak negara.

"Sedikit sebanyak negara luar masih lagi menghormati Malaysia dan khidmat jurulatih kita diperlukan oleh negara lain. Saya rasa untuk meraih pengalaman tidak salah beliau berkelana ke tempat orang," katanya

Jelas Khalid, jika Kim Swee berhijrah sudah tentu beliau akan membawa pulang sesuatu ilmu yang berharga, berbeza dengan hanya berada dalam Malaysia sahaja.

Sentuhan emas Kim Swee mula menarik perhatian sebaik sahaja beliau mula membimbing Harimau Muda pada 2009 selepas Rajagobal dinaikkan pangkat mengendalikan skuad senior, pada tahun yang sama itu juga beliau meraih kejuaraan Liga Perdana bersama skuad tersebut.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA


No comments:

Post a Comment

UMUM

Jom Makan@Melaka

Politik

Sukan

Diari YB

Cuti-Cuti@Melaka

Back To Top