Lim Guan Eng
Perkara itu berikutan keputusan sebulat suara Mahkamah Ra­yuan ketika membenarkan ra­yuan syarikat akhbar tersebut untuk mengetepikan perintah membayar ganti rugi RM200,000 dan kos RM20,000 kepada Guan Eng yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zawawi Mohd. Salleh yang bersidang bersama Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer dan Datuk Dr. Badariah Sahamid sebaliknya meme­rintahkan Guan Eng membayar kos guaman RM50,000 kepada UMMB.

Kuorum berkenaan berpuas hati bahawa perkataan ‘menghapuskan Dasar Ekonomi Baharu (DEB)’ yang terkandung dalam artikel bertarikh 15 Mac 2008 bertajuk DEB: Guan Eng Tetap Berdegil, tidak memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Hakim Badariah ketika membacakan penghakiman bertulisnya menyatakan, perkataan tersebut tidak memfitnah Guan Eng kerana kandungan artikel itu jika dibaca secara keseluruhan, tidak menggambarkan beliau seorang pemimpin yang mempunyai kelakuan yang meragukan.

Ujar beliau, hakim bicara sepatutnya memberi pertimbangan bahawa akhbar tersebut menggunakan bahasa Melayu sebagai perantara dan bukan khusus untuk orang Melayu sahaja, malah turut dibaca oleh kaum lain di negara ini.

Sehubungan itu, Hakim Badariah berpendapat, reaksi masyarakat secara keseluruhan selaku pembaca umum perlu diambil kira bukan hanya melibatkan reaksi orang Melayu atau komuniti tertentu.

Walau bagaimanapun, keputusan hari ini belum muktamad kerana Guan Eng masih mempunyai peluang terakhir dengan memfailkan permohonan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, peguam Mohana Kumar yang mewakili UMMB dalam reaksi ringkasnya kepada pembe­rita sejurus keputusan diumumkan berkata, pihaknya gembira dan lega kerana keadilan akhirnya berpihak kepada anak guamnya.
UMMB merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Jun 2012 yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM200,000 dan kos RM20,000 kepada Guan Eng kerana melaporkan berita yang didakwa mengandungi perkataan berunsur fitnah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Nurmala Salim ketika itu memutuskan, perkataan yang digunakan oleh akhbar berkenaan terlalu berat dan tidak mempunyai maksud sama dengan perkataan ‘bebas’ dan boleh menyebabkan ketegangan kaum serta perbuatan tidak bertanggungjawab dalam konteks masyarakat majmuk.

Oleh itu, mahkamah berpendapat artikel yang disiarkan itu bertujuan memfitnah dengan cuba menggambarkan Guen Eng seorang ahli politik berniat jahat dan mempunyai pendirian untuk menghapuskan DEB.

Setiausaha Agung DAP itu me­nya­man UMMB berhubung artikel itu yang didakwa mengandungi perkataan berunsur fitnah dan berniat jahat selain menafikan mengeluarkan perkataan berkenaan pada satu sidang akhbar.

Sementara itu, peguam Sangeet Kaur Deo yang hadir mewakili Guan Eng menyatakan, pihak responden sedang menimbang untuk memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.
Beliau yang hadir bersama-sama Jeremy Vinesh Anthony berkata, pihaknya akan mendapat arahan lanjut daripada Guan Eng berhubung permohonan itu selain perlu meneliti alasan penghakiman Mahkamah Rayuan sebelum meneruskan tindakan memfailkan kebenaran merayu.