Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, beliau telah mengarahkan supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menggandakan usaha melaksanakan kerja-kerja mendalamkan Sungai Melaka dan pada masa yang sama memastikan proses tersebut tidak mendatangkan kesan bahaya terhadap tebing sungai itu.

Sebagai contoh, kata beliau, jika selama ini kerja pendalaman sungai dilakukan sebanyak -4 meter mungkin ia boleh digandakan kepada -8 meter.

“Kerja-kerja penyelenggaraan muara Sungai Melaka perlu dilaksanakan secara berterusan agar ia dapat memberi ruang yang lebih kepada bot atau feri besar membawa penumpang untuk berlabuh di jeti ini.

“Kita berharap proses mendalamkan sungai ini tidak menjejaskan kualiti perkhidmatan bot dan feri kerana kita mempelawa pelancong datang tetapi muara sungai tidak mampu menampung kemasukan bot atau feri sehingga terpaksa menggunakan bot peng­antara untuk masuk ke negeri ini melalui jeti di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigre­sen, Kastam, Kuarantin dan Kese­lamatan (ICQS) Melaka di Banda Hilir di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad; Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Abu Bakar Sidek Hassan dan Timbalan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri, Ahmad Zainuddin Drahman.

Menurut Idris, ICQS adalah antara pusat kemasukan atau entry point yang menarik dan boleh dimajukan sebagai pusat tumpuan pelancong berbanding dengan jeti-atau pelabuhan lain di negara ini seperti di Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas atau jeti Stulang Laut di Johor serta di Pelabuhan Pulau Pinang.

Katanya, hasil lawatan kerja ke kompleks itu beliau turut berpuas hati dengan operasi melibatkan beberapa agensi iaitu Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Laut.

Tambah beliau, daripada segi hospitaliti dan logistik, Kerajaan Pusat telah mewujudkan satu idea yang bernas apabila membina ICQS di negeri ini sebagai lokasi pelabuhan bot-bot serta feri membawa pelancong sekali gus meningkatkan jumlah kehadiran pengunjung ke Melaka.

Katanya lagi, apa yang penting adalah usaha memajukan jeti dan ICQS ini perlu melibatkan semua pihak termasuk dari negara jiran untuk me­yakinkan agensi pelancongan mereka untuk menarik lebih ramai pengunjung dari Indonesia ke Melaka.

Idris dalam pada itu memberitahu, sepanjang Januari hingga Ogos lalu, sebanyak 93,262 pengunjung menggunakan ICQS Melaka iaitu sebanyak 48,248 sebagai lokasi berlepas ke Indonesia manakala sejumlah 48,014 tiba di ICQS dari Indonesia.

Dua perkhidmatan feri terdapat di ICQS Melaka iaitu ke Dumai dan Bengkalis, Indonesia dan ICQS Melaka adalah salah satu daripada 37 pintu masuk negara yang mengadakan sambutan serentak di seluruh negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.