Monday, 16 November 2015

Melaka Bentang Bajet Lebihan 12 Tahun Berturut-turut

 MELAKA, 16 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka hari ini membentangkan Bajet Negeri Melaka 2016 berjumlah RM327.08 juta dengan hasil kerajaan negeri dianggar berjumlah RM327.25 juta, sekali gus mencatat bajet lebihan bagi tempoh 12 tahun berturut-turut sejak 2005.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata bajet itu merangkumi perbelanjaan mengurus berjumlah RM317.62 juta dan perbelanjaan tanggungan RM9.46 juta.

"Perbelanjaan mengurus merangkumi RM105.46 juta untuk emolumen; perkhidmatan dan bekalan (RM127.57 juta); pembelian aset (RM3.28 juta); pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM89.71 juta) dan lain-lain perbelanjaan (RM1.06 juta)," katanya di sini Isnin.


Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan bajet itu bertemakan 'Memakmurkan Negeri, Mengutamakan Rakyat' pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini.

Katanya bajet itu juga menggariskan lima keutamaan iaitu memperteguh ketahanan ekonomi negara; meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau; mempersiaga modal insan; memperkasa agenda bumiputera; dan meringankan kos sara hidup rakyat.

Idris berkata hasil kerajaan negeri pada tahun depan terdiri daripada hasil cukai sebanyak RM116.15 juta; hasil bukan cukai (RM154.51 juta); dan terimaan bukan hasil (RM56.59 juta).

Beliau berkata kutipan hasil dijangka menokok RM24.33 juta atau 8.03 peratus lebih tinggi berbanding anggaran kutipan tahun lepas.

"Peruntukan pembangunan pula RM55 juta iaitu RM14.23 juta bagi penyediaan infrastruktur; RM11.7 juta untuk kemajuan masyarakat; RM13.97 juta bagi pembangunan ekonomi; RM9.3 juta untuk keagamaan; RM2 juta untuk pembangunan veterinar dan pertanian serta RM3.8 juta untuk pentadbiran dan sosial," katanya.


Sementara itu ketika ditemui pemberita di luar persidangan itu, Idris berkata bajet lebihan itu menunjukkan kerajaan negeri terus berusaha untuk memperkukuh kewangan negeri dengan memantapkan kutipan hasil sambil menguatkuasakan perbelanjaan berhemah.

Beliau berkata dalam bajet itu juga kerajaan negeri akan memberikan tumpuan dalam usaha untuk terus memakmur dan melestarikan alam sekitar demi kelangsungan generasi akan datang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

UMUM

Jom Makan@Melaka

Politik

Sukan

Diari YB

Cuti-Cuti@Melaka

Back To Top