Mohd. Ariff Sabri disaman ke­rana mengaitkan Ibrahim dengan syarikat George Kent (Malaysia) Bhd. yang terlibat dalam projek pembinaan Sistem Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).
Permohonan maaf tersebut di­baca secara terbuka oleh pe­mimpin pembangkang itu sendiri di ha­dapan Hakim See Mee Chun kira-kira pukul 11 pagi yang kemudiannya merekodkan pernyataan itu yang merupakan sebahagian daripada terma penyelesaian kes saman fitnah oleh Ibrahim selaku plaintif terhadap Mohd. Ariff Sabri.
Kenyataan maaf tersebut antaranya menyatakan kekesalan Mohd. Ariff Sabri terhadap kenyataan fitnah yang dibuat dalam artikel bertajuk Keadaan Negara Kita Hari Ini - Siri 2 yang diterbitkan pada 27 September 2015 di blog Sakmongkol AK47 dan beliau memohon maaf atas segala kesan serta akibat yang terpaksa ditanggung oleh Ibrahim ekoran perbuatannya itu.
Mohd. Ariff Sabri juga menyatakan, sesungguhnya kenyataan yang mengaitkan Ibrahim dengan syarikat tersebut dalam artikel itu adalah tidak benar.
Pada 4 November tahun lalu, Ibrahim memfailkan saman fitnah terhadap Mohd. Ariff Sabri selepas pemilik blog itu yang dinamakan sebagai defendan tunggal menerbitkan sebuah artikel fitnah yang mengaitkannya dengan syarikat George Kent.
Kes tersebut sepatutnya mula dibicarakan selama dua hari bermula hari ini.
Selain permohonan maaf yang akan turut diterbitkan di media, mahkamah juga merekodkan persetujuan defendan untuk membayar wang yang tidak dinyatakan jumlahnya kepada bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Tiada sebarang perintah berkenaan kos dibuat oleh mahkamah.
Ibrahim diwakili peguam-peguam Khalid Yusoff dan Mohd. Faiz Iskandar Hamzah manakala Mohd. Ariff Sabri diwakili peguam Gobind Singh Deo.
Menurut pernyataan tuntutan, Ibrahim menafikan bahawa beliau pernah dilantik sebagai pengarah syarikat pembinaan yang berasal dari China itu pada bila-bila masa.
Plaintif mendakwa, akibat penyiaran artikel terbabit, beliau telah me­ngalami kemurungan yang teruk kerana telah dipandang rendah dan serong oleh ahli-ahli Perkasa memandangkan Ibrahim dikenali sebagai seseorang yang sering memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu.
Sementara itu, Ibrahim yang ternyata ceria selepas tamat prosiding menyatakan beliau me­nerima permohonan maaf tersebut atas semangat Aidilfitri walaupun terpaksa menanggung akibat daripada perbuatan defendan.
“Sebagai seorang Islam, apabila orang minta maaf, saya terima sebab dia pun dah nyatakan kekesalannya. Permohonan maaf ini juga akan bantu saya membersihkan nama saya yang sering kali menjadi mangsa fitnah.
“Saya harap ini akan menjadi pengajaran kepadanya sebagai Ahli Parlimen supaya dalam keghairahan berpolitik, tidak ambil mudah menuduh orang tanpa bukti.
“Saya berasa lega kerana imej dan maruah saya makin bersih daripada pelbagai tuduhan sebelum ini dan masih lagi bertahan,” katanya.