Monday, 11 July 2016

Pembangkang habis 'modal' - Idris Haron

Foto : Muhammad Hatim


Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

AYER KEROH: Pembangkang dilihat tidak mempunyai 'modal' apabila menuduh kerajaan yang memberi duit raya sempena Aidilfitri sebagai rasuah, sekali gus tindakan itu mempolitikkan sentimen perkauman. 

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Haron, berkata tindakan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming berhubung budaya pemberian duit raya itu bukan saja menghina amalan sambutan perayaan umat Islam, malah menyifatkan pemimpin pembangkang itu berfikiran sempit. 

"Kita tidak perlu jadikan perkara yang menjadi budaya satu kaum sebagai sentimen politik. Bagaimana pula jika ada pihak menyatakan pemberian angpau (duit raya) diamalkan masyarakat Cina sebagai satu rasuah, itu juga boleh mencetuskan perasaan tidak selesa antara kaum.



"Jadi, saya menganggap tindakan Kor Ming itu bertentangan dengan Akta Hasutan 1948 dan boleh disiasat kerana menghasut serta mencetuskan huru-hara dalam kalangan kaum di negara kita," katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2016 peringkat negeri berkonsepkan kampung halaman di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini, yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob. 

Lebih 40,000 pengunjung pelbagai kaum dari seluruh negeri hadir ke majlis rumah terbuka yang menyediakan kira-kira 35 gerai aneka juadah hari raya dan persembahan artis tanah air. 

Media sebelum ini melaporkan, Kor Ming yang juga pemimpin DAP dipercayai memuat naik status bertajuk 'Hanya di Malaysia di bawah UMNO, Selamat Hari Raya' dengan karikatur dua kanak-kanak menerima duit raya daripada seorang individu menerusi akaun Facebook, Nga Kor Ming, pada jam 5.15 petang, 6 Julai lalu dan menyamakannya sebagai pemberian derma atau dedak.

Idris yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, Kor Ming juga sepatutnya tidak layak memegang jawatan sebagai wakil rakyat kerana tindakannya yang tidak masuk akal itu sehingga boleh mencetuskan kemarahan masyarakat negara ini.

UMUM

Jom Makan@Melaka

Politik

Sukan

Diari YB

Cuti-Cuti@Melaka

Back To Top