Thursday, 11 August 2016

Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO Di Melaka Bermula Sabtu Ini


MELAKA, 10 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat perwakilan enam bahagian UMNO di negeri ini dijadual bermula pada Sabtu ini sehingga 4 Sept, kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Ab Rahaman Ab Karim hari ini.


Beliau berkata UMNO Bahagian Tangga Batu diketuai Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron merupakan bahagian pertama bermesyuarat bermula 10 pagi Sabtu ini manakala UMNO Bahagian Alor Gajah diketuai Datuk Abdul Ghafaar Atan mengadakan mesyuarat pada pukul 2 petang hari sama.

Katanya pada 21 Ogos, UMNO Bahagian Masjid Tanah diketuai Datuk Ab Rauf Yusoh yang juga Setiausaha Kerja UMNO bermesyuarat pada 8 pagi dan UMNO Bahagian Bukit Katil diketuai Tan Sri Mohd Ali Rustam bermesyuarat pada pukul 2 petang, 28 Ogos.

UMNO Bahagian Kota Melaka diketuai Datuk Abdul Latiff Tamby Chik bermesyuarat pukul 2.30 petang, 3 Sept manakala UMNO Bahagian Jasin diketuai Datuk Ahmad Hamzah bermesyuarat pada pukul 2 petang 4 Sept depan, katanya kepada Bernama di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden UMNO dijadual merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Tangga Batu, manakala Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga naib presiden parti dijadual merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Jasin.

Selain itu Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein juga Menteri Pertahanan dijadual merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Bukit Katil dan Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak juga Menteri Komunikasi dan Multimedia dijangka merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Kota Melaka.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid juga Menteri Pendidikan pula dijangka merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Alor Gajah dan mesyuarat UMNO Bahagian Masjid Tanah dijadual dirasmikan seorang lagi Anggota Majlis Tertinggi UMNO iaitu Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz juga Menteri Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Ab Rahaman berkata semua tarikh mesyuarat dan mereka yang dijadual merasmikan mesyuarat perwakilan itu adalah tertakluk kepada perubahan bergantung kepada keadaan semasa.

Mesyuarat perwakilan di 191 bahagian UMNO seluruh negara perlu berlangsung antara 1 Ogos lepas dan 15 Sept ini.

-- BERNAMA

UMUM

Jom Makan@Melaka

Politik

Sukan

Diari YB

Cuti-Cuti@Melaka

Back To Top