Wednesday, 31 August 2016

Serangan ke atas Najib tidak akan berhenti - Idris Haron


MELAKA - Serangan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan berhenti, sebaliknya akan ada pelbagai kaedah lain digunakan pihak yang mahu menjatuhkannya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Idris Haron berkata, golongan tersebut akan menggunakan apa juga cara untuk memastikan Najib berundur sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Bagaimanapun katanya, usaha pihak terbabit masih belum berhasil, malah sebenarnya menjerat diri mereka sendiri apabila dari semasa ke semasa, rakyat mula jelik dan muak dengan pelbagai tohmahan.

"Saya percaya pelbagai bentuk dan kaedah akan digunakan terutama menggunakan demonstrasi jalanan.
"Mereka mungkin mempelajari daripada beberapa negara jiran yang telah melakukan perubahan pucuk kepimpinan politik menerusi cara ini.

"Tapi perlu diingat, negara kita ada undang-undang dan Perlembagaan. Kita memilih pemimpin secara sah menerusi pilihan raya yang lebih telus dan terbuka," katanya.

Menurutnya, kumpulan terbabit juga sengaja melakukan provokasi menjadikan musim mesyuarat perwakilan Umno untuk mendapatkan perhatian termasuk mengadakan demonstrasi jalanan seperti berlaku pada perhimpunan di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ini kerana, katanya, mereka berharapkan agar isu Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat dan Malaysian Offical 1 (MO1) akan dibangkitkan dalam mesyuarat perwakilan bahagian seluruh negara.

"Gesaan terhadap DOJ dibuat betul-betul dua hari sebelum bermula kempen mesyuarat perwakilan. Mereka harapkan perwakilan menyokong kenyataan DOJ. Tapi, nampaknya matlamat mereka tak kesampaian apabila tiada sambutan daripada Umno bahagian yang bermesyuarat.

"Sebaliknya, perwakilan menghentam balik DOJ dengan menyatakan banyak lagi sepatutnya dibangkitkan seperti isu serangan sehala ke atas Iraq. Begitu juga isu Guantanamo Bay, pencerobohan Amerika terhadap negara Timur Tengah dan Asia Barat.

"Itu lebih keutamaan untuk disiasat daripada 1MDB. Mengapa pula tiba-tiba isu 1MDB menjadi perhatian DOJ?," katanya.

Idris yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, setakat ini tidak ada tanda-tanda Najib akan menyerah kalah, sebaliknya terus melakukan tugasnya untuk negara serta mengukuhkan parti.

"Berapa kali cubaan (usaha menjatuhkan Najib), sekali melalui perhimpunan agung, gagal. Himpunan jalanan, juga gagal. Menerusi undi tak percaya di Parlimen, tak lepas. Usul-usul di peringkat Dewan Rakyat dan guna NGO juga tak lepas.

"Jadi, mereka guna kuasa asing pula, minta bantuan DOJ. Nampak sangat dia menggunakan cara itu untuk cuba sedaya upaya menjatuhkan perdana menteri kita. Seperti orang katakan, mereka ini 'tak menggigit'," katanya.

Ketika ditanya peluang BN menang PRU akan datang berikutan isu yang dilemparkan terhadap Najib, Idris berkata, melihat kepada kemenangan Pilihan Raya Negeri di Sarawak, tidak mustahil BN akan menang lebih besar kali ini.

"Rakyat tahu buat pilihan. Kalau pilihan raya Sarawak itu dijadikan pungutan suara walaupun semua tuduhan dan cerita buruk tentang pemimpin negara, rakyat Sarawak masih memilih BN sebagai parti pemerintah," katanya.

UMUM

Jom Makan@Melaka

Politik

Sukan

Diari YB

Cuti-Cuti@Melaka

Back To Top