Wednesday, 1 March 2017

Idris beri bayangan 'cerita baik' ADUN PAS



AYER KEROH: Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron membayangkan ada 'cerita baik' membabitkan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini. 

Katanya, keadaan itu sebagai susulan tindakan tiga ADUN dan seorang Ahli Parlimen dari DAP yang keluar parti bulan lalu, selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk kepemimpinan parti terbabit. 

"Setakat ini, tiga ADUN serta seorang Ahli Parlimen yang keluar DAP itu tidak ada menghubungi saya, namun kita tunggu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang akan bermula Selasa depan. 

"Pada Sidang DUN itu nanti, kita akan dapat cerita yang lebih hangat, termasuk 'cerita baik' daripada satu lagi wakil pembangkang iaitu ADUN PAS. Sama-sama kita tunggu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Seri Negeri di sini, hari ini. 

ADUN Bukit Baru, Dr Md Khalid Kasim adalah satu-satunya wakil PAS dalam DUN Melaka. 

Pada 12 Februari lalu, empat pemimpin DAP Melaka, iaitu Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; ADUN Bachang, Lim Jak Wong; ADUN Kesidang, Chin Choon Seong dan ADUN Duyong, Goh Leong San, mengumumkan keluar parti. 

Langkah itu susulan krisis dalaman yang membelenggu parti, selain kecewa dengan kepemimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam mentadbir parti berkenaan. 

Sidang DUN Melaka akan berlangsung selama empat hari di Seri Negeri bermula 7 hingga 10 Mac ini dan akan dirasmikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/254673

UMUM

Jom Makan@Melaka

Politik

Sukan

Diari YB

Cuti-Cuti@Melaka

Back To Top