AYER KEROH: Semua 30 atlet dari Melaka yang berjaya memperoleh pingat pada temasya Sukan SEA 2017 (KL2017) bakal menerima durian runtuh daripada kerajaan negeri.
Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Beliau mengumumkan, pemenang pingat emas akan menerima RM8,000, perak (RM5,000), manakala gangsa (RM3,000)
"Ganjaran yang berjumlah keseluruhan RM140,000 itu bukan sahaja kepada pemenang bagi acara individu, tetapi juga berkumpulan, namun ia untuk anak Melaka sahaja.
"Ini tanda bangga kerajaan negeri kepada mereka yang berjaya memperoleh pingat selepas mewakili negara pada Sukan SEA 2017," katanya.
Antara atlet Melaka yang memenangi emas adalah Mohd Juwardi Mazuri bagi acara memanah, Tan Ing Yueh dan Tranvie Ang (gimnastik artistik), Khairul Hafiz Jantan (olahraga), Ho Mun Hua (wushu), Norazlinda Zakaria (boling padang), Tai Chia Qian (bola keranjang) dan Nuraslinda Said (hoki).
Sementara itu, Idris mengarahkan semua mesyuarat Majlis Tindakan Daerah perlu dihadiri pengarah atau pegawai kanan tanpa perlu mewakilkannya kepada pegawai bawahan.
Beliau berkata, arahan itu berkuat kuasa serta merta selepas memikirkan kepentingan keputusan yang bakal dibuat dalam setiap mesyuarat.
"Sebelum ini kita dapati jabatan hanya menghantar wakil ke mesyuarat berkenaan, namun selepas ini tidak ada wakil yang boleh hadir ke mesyuarat itu kecuali pegawai kanan jabatan," katanya.
No comments:
Post a comment