Wednesday, 2 August 2017

Piala Malaysia: MU sekat hajat TRW



KOTA BHARU: Impian besar Kelantan untuk layak ke saingan suku akhir dinafikan Melaka United (MU) yang berjaya menewaskan tuan rumah, 3-2 di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, sebentar tadi.

MU mula mengasak tuan rumah dari awal permainan dan hasilnya, usaha mereka berjaya apabila Jeon Woo-young melepaskan rembatan padu pada minit keempat yang gagal diselamatkan penjaga gol, Mohamad Ramdhan.
The Red Warriors (TRW) berpeluang menyamakan kedudukan pada minit kesembilan dan minit ke-12, namun sepakan Indra Putra Mahayuddin dan Mohamad Norfarhan ditangkap kemas penjaga gol pelawat, Badrulzaman Abd Halim.
Asakan bertali arus MU menyaksikan import Korea Selatan, Woo-young sekali lagi menambah koleksi gol peribadi menerusi rembatan cantik hasil sepakan penjuru menewaskan Mohamad Ramdhan pada minit ke-30.
Selang dua minit, kubu tuan rumah sekali lagi bocor selepas import kelahiran Croatia, Marko Simic membuat rembatan leret untuk gol ketiga Hang Tuah.
Tuan rumah akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-51 selepas Mohd Khairul Izuan Rosli merembat deras hasil hantaran Muhammad Danial Ashraf Abdullah.
Pada minit ke-86, Mamadou Danso menyudahkan bola hasil tendangan Margaro Gomis yang tertampan penjaga gol gantian, Mohd Fazli Pa'at bagi merapatkan jurang.
Kemenangan itu menyaksikan MU kini berada di tangga kedua kumpulan C dengan mengumpul sembilan mata sementara Kelantan di tangga ketiga (6 mata) dan keempat UiTM FC (3).
Share: