SIDANG JEMAAH YANG
DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi
sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan
bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala
larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan ini mendapat keberkatan di dunia dan di
akhirat. Khutbah hari ini akan membicarakan tajuk: “Kukuh
Integriti Teguh Kompetensi”.
SIDANG
JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Budaya kerja
ditakrifkan sebagai etika kerja yang di dalamnya terangkum berbagai-bagai
perkara yang diperlukan di dalam rangka mencapai matlamat sesebuah organisasi. Budaya kerja ini termasuklah mencapai matlamat, penggunaan sumber-sumber
dan faktor pengeluaran mengikut peraturan-peraturan dalaman dan luaran yang
telah dikanunkan hubungan manusia di dalam organisasi, hubungan di antara
pekerja dengan pihak pengurusan, perlaksanaan hak dan tanggungjawab, peraturan
bekerja, kelahiran suasana bekerja yang kondusif, peranan disiplin di dalam
menentukan kestabilan organisasi dan sebagainya.
Namun ada segelintir pekerja sama ada golongan profesional atau sokongan
yang tidak serius dalam persoalan budaya kerja ini. Bagi mereka, bekerja
merupakan satu perkara yang dilakukan secara spontan setiap hari yang tidak
melibatkan perancangan, etika, peningkatan mutu dan sebagainya. Dengan itu
kerja kebanyakan golongan ini hanya ala-kadar sahaja, malah ada yang
beranggapan bahawa kerja merupakan satu perkara yang boleh dibuat atau
ditangguhkan dahulu. Pemahaman ini menyebabkan mereka beranggapan orang yang
kuat bekerja adalah terlalu ghairah mengejar sesuatu atau berkorban lebih dari
had yang sepatutnya.
Hakikatnya,
kerja keras, kerja cerdas, kerja tuntas dan kerja
ikhlas adalah pedoman yang dituntut kepada kita. Sebagai pekerja yang profesional
kita tentu wajib melakukan kerja dengan keras dan cerdas sampai tuntas dengan
hasil yang baik. Keadaan ini terhasil apabila hati kita berjaya dibaiki. Hukama
pernah menyatakan, untuk membaiki dunia, baiki manusianya. Dan untuk membaiki
manusia, baiki hatinya. Sabda Rasulullah SAW:
Mafhumnya: “Daripada
Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Ketahuilah dalam tubuh anak
Adam, ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah seluruh anggota badan.
Jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah, daging itu adalah
hati.”
Oleh
kerana hati bersifat dalaman, maka untuk menyelesaikannya juga mesti dengan
kaedah dalaman. Untuk itu, niat merupakan elemen paling penting di dalam
kehidupan. Dengan niat yang betul, sesuatu ibadah menghasilkan pahala kepada pelakunya,
bahkan setiap aktivitinya dapat ditingkatkan menjadi ibadat sepanjang masa sesuai
dengan ketentuan syarak.
SIDANG JUMAAT
YANG DIRAHMATI ALLAH,
Bagi memastikan hidup ini mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di
akhirat, maka kita perlu memastikan hidup ini dilihat dari sudut pandangan
Allah SWT. Dari sini, barulah apa yang akan kita dapat dalam hidup ini tepat
dan jelas. Inilah yang dikatakan celik mata hati. Kelangsungan sifat ini akan
membina individu yang cemerlang dalam melaksanakan peranan, pekerjaan dan
tanggungjawab mereka dengan baik.
Bertitik tolak dari sini, setiap tutur kata, amal usaha dan
pengorbanan tertumpu kerana Allah SWT dan mengharapkan keredhaan-Nya tanpa
mengharapkan faedah nama dan gelaran, pangkat dan kedudukan, sanjungan dan
penghormatan serta ketinggian dan kemuliaan zahir. Ini sekaligus dapat menghindarkan kita daripada amal dan
akhlak yang hina.
Islam begitu menuntut dan menggesa manusia supaya
mencapai sifat kemuliaan kerana ia adalah intipati daripada setiap ibadah
pengabdian yang layak menerima balasan seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT. Firman
Allah SWT dalam Surah al An’am ayat 162 – 163:
Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku,
hanyalah untuk Allah Tuhan yang mentadbirkan sekalian alam Tiadalah sekutu
bagi-Nya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku adalah
orang Islam yang awal pertama yang berserah diri kepada Allah.”
SIDANG
JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Imej segelintir umat Islam yang buruk dan negatif mutakhir ini menunjukkan
perlu satu proses penjenamaan semula secara menyeluruh. Setiap daripada kita
perlu pendekatan baru dan huraian yang segar untuk kembali memahami, menghayati
dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Ini penting kerana kita tidak mahu
terus terhukum akibat kelemahan kita sendiri.
Khatib yakin, langkah ini
dapat membantu meningkatkan daya produktiviti, membersihkan imej dalaman dan
luaran, menyemai rasa cinta kepada kedamaian dan sentiasa unggul di semua aspek
kehidupan. Soalnya, apakah bentuk imej yang ingin kita bina itu? Untuk itu,
mari kita merenung firman Allah SWT dalam Surah Al Qasas ayat 26 iaitu:
Maksudnya: “Salah seorang dari keduanya berkata: Wahai ayah, ambillah dia sebagai
pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja ialah yang kuat, lagi amanah.”
Dalam ayat ini, bukan
ikhlas semata-mata menjadi penguat kepada nilai keunggulan Nabi Musa a.s tetapi
sifat amanah dan al Qawiy (kuat) yang boleh ditafsirkan sebagai nilai integriti
dan nilai kompetensi. Dari sifat ini, seseorang itu akan memiliki nilai-nilai
yang baik (mahmudah) di samping mempunyai kepakaran dan keterampilan dalam melaksanakan
tugas secara berkesan dalam bidang pengurusan, pentadbiran, pendidikan, ekonomi
dan sebagainya.
SIDANG
JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Realitinya, kita tidak boleh
memisahkan objektif kehidupan dunia dengan objektif kehidupan akhirat. Kita
perlu sedar bahawa setiap apa yang dilakukan berada di bawah pengawasan Allah
SWT. Perasaan merasakan kewujudan Allah menyebabkan seseorang itu merasai
pentingnya melakukan sesuatu di tahap yang terbaik.
Namun, jika kita terlalu mementingkan kehidupan akhirat sehingga
meninggalkan tuntutan dunia juga dilihat tidak wajar. Kesannya, umat Islam akan
berada di dalam keadaan kerugian. Justeru kita dituntut menjadi umat yang Wasati
(sederhana) agar maju dalam semua lapangan. Ini dapat mengukuhkan
integriti dan meneguhkan kompetensi serta meningkatkan lagi produktif seseorang pekerja untuk kesejahteraan agama, masyarakat,
negara dan ummah.
SIDANG
JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Dalam senario
global hari ini, kita sedang mengalami evolusi di mana kecekapan dan kemahiran
kerja selain daripada modal insannya, ia turut disumbangkan oleh data yang merupakan
sumber baharu negara yang paling berharga. Data dalam konteks pengurusan negara
merupakan elemen penting dalam fasa menggubal, melaksana dan memantau
kelangsungan pembangunan negara akan terus ke hadapan.
Ketiadaan data atau maklumat yang lengkap merupakan satu kerugian malah
menyebabkan sesuatu keputusan atau perancangan pembangunan menjadi pincang.
Atas kepentingan ini dan pengiktirafan kerajaan kepada golongan profesional statistik
di negara ini, maka sambutan Hari Statistik Negara yang julung-julung kali
diadakan pada hari ini. Mimbar yakin transformasi teknologi yang berlaku akan
mempengaruhi kita sebagai individu, masyarakat, perniagaan dan kerajaan serta
mengubah cara hidup, bekerja, mentadbir dan mengurus kehidupan.
Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib mengajak
sidang jemaah sekalian menghayati dua rumusan utama iaitu:
Pertama:
|
Pekerjaan menuntut komitmen
dan kesabaran yang tinggi untuk mencapai mutu kerja dan produktiviti
cemerlang serta meningkatkan nilai-nilai akhlak demi kesejahteraan masyarakat
dan negara.
|
Kedua:
|
Proses
pendidikan amalan budaya kerja yang sihat dan dipenuhi nilai-nilai murni
agama merupakan satu unsur penting dan perlu dihayati serta diamalkan sepanjang
masa.
Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil,
berbuat baik dan memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada
melakukan perbuatan mungkar dan kezaliman. Ia mengajar kamu supaya kamu
mengambil peringatan” (Surah An Nahl: 90)
|
No comments:
Post a Comment